Koleksi Gambar

Saturday, December 3, 2011

                                                                       BARU SAMPAI....

Alih alih dah hujung tahun

ASSALAMUALAIKUM. TADI SAYA DAN SUAMI SERTA RAKAN-RAKAN MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN RAKAN SEKOLEJ KAMI. PERJALANAN MEMAKAN MASA DALAM 2 JAM LEBIH JUGA. KAMI MELALUI FELDA GUNUNG BESOUT PERAK. KIRI KANAN KAMI HANYA LADANG KELAPA SAWIT. SESEKALI TERJUMPA FELDA YANG BERJIRAN. BERTUAH SUNGGUH ORANG LUAR BANDAR KERANA JAUH DARI KESIBUKAN KOTA DAN PENCEMARAN UDARA. SESAMPAINYA KAMI DI TERATAK PENGANTIN (SAUDARA AZRI DAN ISTERI) , KAMI DISAMBUT PENGANTIN DAN DIIRING KE KHEMAH UNTUK MENJAMU SELERA. LAUK KAMPUNG YANG SIMPLE TETAPI MEMBUKA SELERA. DAGING SUP ,IKAN BAKAR BERSAMA AIR ASAM DAN MASAK PEDAS DAGING YANG MENJADI RAMUAN KEPADA NASI HUJAN PANAS ATAU NASI PUTIH....(BERSAMBUNG)

Sunday, September 25, 2011

Thursday, September 22, 2011

Berlanggar




Masing-masing murid excited nak bergambar ramai-ramai termasuk gurunya. Ada pula yang excited nak jadi tukang tangkap gambar. Bagi sajalah muka pada mereka.


Setelah selesai bergambar masing-masing berlari balik ke tempat masing-masing. Tiba-tiba Fatin Qhaisyah dan Irfan bertembung. Pantas mata saya menangkap bahagian dalam bibir Fatin yang terguris. Cemas juga saya saya takut terguris dalam. 

Azim Irfan saya pandang dengan pandangan meminta penjelasan. Tangannya tiada apa-apa objek tajam.

Fatin: (Terkejut dan Menangis)
Saya: Kenapa Irfan, awak ada objek apa-apa ke?

Irfan: (beria-ia memberikan penjelasan) Aik! Fatin terkena tangan saya ustazah! tengok! (sambil menunjukkan buku lima di jari telunjuknya), tangan saya dah patah! (wajahnya tidak menggambarkan kesakitan)
Saya: (membelek tangannya dengan kehairanan. Takkan kena buku lima boleh terguris macam kena pisau.)

Dan Azim Irfan tidak habis-habis mengatakan tangannya patah.

Sebenarnya saya nak ketawa juga tetapi amat cemas dengan luka Fatin. Luka dibibir saya lap dengan tisu, setelah menenangkan Fatin bahawa lukanya tidak teruk dan segera baik sambil menunjukkan tisu yang tiada darah lagi barulah Fatin diam. Mukanya yang merah kembali kewarna asal. Azim Irfan tiba-tiba:

Irfan: Ustazah, ni apa ni! (sambil menunjukkan mata pensil aluminium yang tidak bermata)
    agaknya Fatin kena ni tak?....

Selepas ini kenalah saya berhati-hati dengan anak-anak angkat saya yang 14 orang ini. 

Sunday, August 14, 2011

Moral Zaman Sekarang

Baru sahaja berbangga melihat berita di RTM apabila pelajar memberi reaksi matang pada pertanyaan wartawan terhadap keamanan yang di kecapi di Malaysia. Adik-adik peringkat menengah ini memberi komen yang seimbang di mana mereka berharap situasi politik dapat diperbetulkan dimana pemimpin adalah wadah yang menjadi medium untuk rakyat menyampaikan hasrat. Katanya lagi keadaan moral dengan jenayah yang semakin meningkat perlulah ditangani dengan segera.

Namun petangnya, seorang anak dari Kuala Nerang Kedah sanggup menetak ayahandanya semata-mata ditegur kerana memarahi anak-anak buah yang membuat bising. Di pertengahan Ramadhan ini, akibat anak derhaka tadi, ayahandanya telah mengadap Ilahi sambil membawa bukti pembunuhan di Padang Mahsyar kelak.

Menerobos sebab musabab kejadian tersebut, saya tertanya-tanya apakah anak ini mental atau terkena dadah atau mempunyai sindrom baran keterlaluan. Sungguh akal yang Allah kurniakan ini tidak dipacu dengan jalan positif. Nafsu dibulan Ramadhan ini dimenangkan padahal kita diseru melawan hawa nafsu di bulan puasa ini sebagai tanda perhambaan terhadap Khaliq kita.

Apapun pemimpin harus bertanggungjawab memberi tauladan yang baik dan memikirkan cara bagaimana untuk mengelokkan akhlak masyarakat yang semakin membimbangkan ini.

Jawapan yang seratus peratus tepat ialah kembali kepada Islam sepenuhnya. Syariat ditegakkan, jiwa harus diisi dengan ketaqwaan.

Thursday, August 11, 2011

Yang Telah Pergi

kerana rindu sempat juga saya siapkan manisan ini.

Dahulu, saya selalu mengomel kenapa kalau balik ke kampung kami selalu kena beraya di Sungai Jagung, kampung ayah, sedangkan seseronokan berhari raya lebih seronok di Kampung Gurun, Kedah. Di sana mak-mak saudara, bapa-bapa saudara dan sepupu sebaya akan berkumpul. Tok adalah orang yang paling sibuk.

Tak dapat dilupakan agar-agar kering yang berwarna warni didalam balang yang disediakan tok akan habis terlebih dahulu. Teringat bagaimana cerewetnya memelihara agar-agar kering sehingga saya selalu bertembung dengan tok yang sedang membebel sorang-sorang. Orang buat lawan cakap tak nampak pula, rupanya tok sedang marahkan ayam dan itik yang cukup suka dengan warna warni agar-agar kering yang berada di meja jemuran. Kalau pasal agar-agar kering, banyak kenangan yang terimbau. Bagaimana saya menolong arwah tok ketika malam, bagaimana cik ti menjamah curi-curi agar-agar didulang dan bagaimana posmen yang selalu menghantar surat dan menjadi customer tetap agar-agar kering tok menyangka tok masih hidup kerana agar-agar kering yang saya buat.

Kuih tradisional lain yang sama-sama saya berkongsi memori dengan tok seperti Putu Kacang dan Putu Beras. Saya yang masih gadis sunti menolong tok menyusun didalam bekas. Masih terbayang lagi betapa telitinya tok menekan tepung kedalam acuan supaya kuih menjadi dengan cantik.

Kacang Goreng Pedas disari dengan serai dari meja resepi tok sungguh asli dan sempat saya warisi. Apa yang teringat oleh saya, tok menegur perbuatan saya yang membasuh kacang (mungkin terlebih basuh)  sehingga akan menyebabkannya kurang garing nanti. Ketika itu tok sedang diserang demam secara tiba-tiba dan hampir kepada penghujung hayatnya.

Sewaktu tok meninggal, tanah yang dicangkulnya untuk bercucuk tanam masih baru lagi digemburkan. Kuih-muih yang dibuat dan dipacking masih segar di rak-rak kedai.

Kuih Loyang, Tempeyek,Kuih Siput air tangan tok menggamit saya yang tiba-tiba saya terasa mahu mencuba kuih-kuih tradisional seperti yang pernah disediakan arwah tok pada tahun 2011 ini.

Tok banyak menyumbang dan mempengaruhi kepada awal kehidupan remaja saya. Dengan tok saya menumpang kasih sayang. Darinya saya menumpang mencari rezeki bagi menampung pengajian menengah saya dengan resepi-resepi kuih tradisi yang saya dapat secara tidak sengaja.

Sikap ingin meraikan dengan menyediakan pelbagai juadah dapat mengeratkan keluarga yang jauh, itulah sifat tok yang amat disenangi tetamu serta saudara jauh dekat. Kalau dibulan Ramadhan tok akak siapkan juadah untuk dihantar ke masjid lama Gurun. Nasi yang dirumus dengan ulam-ulaman yang mendapat pujian orang masjid disediakan berkali-kali sehingga esok dan esoknya lagi tok akan sediakan makanan yang sama untuk dihantar. Pengakhiran yang tidak saya lupakan bapa saudara yang saya gelar Pak Dak mengusik tok bahawa orang masjid sudah jemu makan nasi ulam yang sama.

Setiap Magrib tok akan solat di tingkat atas rumah yang mana menempatkan bilik bujang saya. Agakan saya tok sengaja membaca Quran ketika saya ada supaya saya boleh membetulkan bacaannya dan betapa kesalnya saya kerana saya tidak mengajarnya dengan bersungguh. Sayang masa lalu yang ditinggalkan tidak mungkin berulang lagi.

Sebagai tanda kasih dan sayang saya mengharapkan supaya al Fatihah yang tidak putus-putus dan ilmu yang saya warisi dapat menghubungkan kasih sayang dengan tok di alam sana.  

Harus Sedar

Adakah anda lelaki normal yang:

1: menjadi penyokong utama kerjaya isterinya sebagai artis.

2. Suka/bangga apabila isteri menjadi perhatian ramai terutamanya lelaki lain.

3. Rela lelaki lain menyentuh kulit mulus isteri anda ketika bersalaman

4. Rela melihat orang lain bertepuk tampar dengan isteri anda samada secara sengaja atau tidak sengaja

5. Menyokong isteri anda tidur sekatil dengan lelaki lain yang tidak kurang hebatnya didalam filem lakonannya

6. Turut ketawa bersama penonton lain melihat aksi lawak isteri anda yang menggelikan hati.

7. Gembira melihat isteri anda menerima bayaran kerana menghiburkan hati orang lain dengan suaranya yang merdu dan penampilan rapi yang menawan ramai orang.

8. Membiarkan isteri anda melayan makan minum orang lain sehingga lewat malam kerana bekerja di kedai makan.

9. Membiarkan orang lain merapikan isteri anda dengan mengukur badan untk membuat pakaian( designer nyah) dan mencantikkan isteri anda (make up artis)