Koleksi Gambar

Wednesday, September 17, 2014

Sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga.
Secara jujurnya saya merasai alam rumahtangga ini dikemudi sebaik mungkin. Dahulu hidup membujang rasa tidak terurus sahaja walaupun bekerja dan punya wang. Contohnya apabila raya semakin hampir, saya keliru memikirkan dimana mahu berhari raya. Mak di KL. Adik yang bongsu ikut emak. Kalau saya beraya bersama mak, mak belum tentu berada di rumah kerana memilih mengisi hari raya dengan bekerja . Kalau emak tak bekerja aktiviti raya kami tidak seperti orang lain. Mengingati kenangan itu membuatkan saya berasa sedih sahaja.
Jika saya beraya dengan keluarga ayah agak meriah juga tetapi saya kurang selesa kerana terjun dalam keluarga ummi yang besar. Meriah tetapi keakraban tidak terasa kerana mereka ibarat orang baru pada saya.
Dunia bujang saya dahulu terlalu berdikari. Mak saya juga terlalu berdikari. Ayah pula mengajar saya supaya tidak terlaku bergantung.
Nak ceritalah sedikit pengalaman raya pada tahun 2002.
Tahun itu saya pulang ke Kedah bersama adik bongsu saya berdua sahaja. Emak saya tidak turut serta kerana ada komitmen lain. Berkelanalah kami ke negeri Kedah. Kami tidur di Gurun, esoknya pada hari raya pertama kami beraya ke rumah ayah. Yang lain lain selepas itu saya tidak ingat.
Raya yang paling meriah ketika tok masih ada. Memang seronok kami berkumpul. Malam raya meriah dengan kesibukan menyediakan juadah ketupat dan rendang. Di halaman rumah pula berderet kereta menandakan kepulangan orang kota. Saya yang berumur sekitar 14 tahun ketika itu diberi peranan mengisi balang kuih raya. Ingat lagi selepas kemeriahan hari raya arwah tok akan menyorokkan kuih raya di bawah katil bilik atas. Sering juga saya mencuri makan kuih raya yang di sorokkan. Satu sikap arwah tok ialah jimat cermat. Manakan tidak kuih raya yang disimpan sehingga raya haji berikutnya.
Raya selepas ketiadaan arwah tok turut saya rasai. Saya berada di tingkatan 4 ketika itu. Mak saya tidak pulang kerana kesibukannya. Saya mendiami rumah tok bersama ibu dan bapa saudara. Menjelang malam raya hanya tinggal saya seorang yang memeriahkan rumah. Saya pasang lagu raya, nikmati feel beraya dengan mengeluarkan balang kuih, mengisi kuih dan menghias rumah apa yang patut. Itulah pengalaman beraya seorang diri. Esoknya barulah ada saudara mara yang datang berkunjung.
Tahun selepas hidup berdua, barulah saya merasai suasana raya yang bermakna. Bermakna kerana suami saya memberi sepenuh perhatian kepada saya dari segi makan, pakai dan persiapan lain. Hidup berdua rasa lebih bermakna dan tidak sunyi lagi. Kami meraikan suasana hari raya dengan penuh kegembiraan. Alhamdulillah.

Keluhan dan harapan salesman