Koleksi Gambar

Monday, April 22, 2013

Suamiku Surirumah

Siaran tv memainkan rancangan ilmiah yang berjudul 'Suamiku Surirumah' pada petang Isnin yang berbahagia ini. Di hoskan oleh seorang ustazah yang tidak asing lagi. Pada mulanya saya tidaklah berminat kerana menduga sudah pasti ustazah ini akan memberi gambaran positif kepada isteri yang sanggup berkorban dengan bekerja mencari rezeki dan terharu dengan suami yang sanggup memikul tanggungjawab sebagai seorang surirumah. Saya risau tajuk ini signifikan dan stereotype dengan rancangan 'Primadona' yang pernah saya tonton sebelum ini yang seakan serupa tajuknya. Kebetulan tetamu jemputan merupakan seorang selebriti yang tidak asing lagi, mengaku pula menjadi tunggak utama keluarga manakala suaminya pula menjadi surirumah sepenuh masa. Ustaz jemputan seolah-olah 'cover baik punya' apabila melihat situasi ini. Kononnya apabila suami restu isteri mencari rezeki diluar dan isteri pula sanggup berkorban maka masing-masing tidak menjadi masalah dalam Islam.
Saya melihat sesuatu yang tidak kena apabila melihat selebriti wanita itu terlepas cakap seolah dialognya begini...
"Habis! Kalau aku tak keluar bekerja mana datang duitnya!" Tanpa menyedari perkataannya itu langsung tidak menjaga air muka suaminya. Orang diluar sana mungkin akan membuat pelbagai andaian baik disebelah isteri mahu pun suami. Pengacara pula tidak pandai mengemudi tajuk yang dibawa sehingga nampak kepincangan topik perbincangan sehingga tidak membawa satu solusi yang bijaksana. Baru-baru ini pula saya mendapat maklumat melalui media massa siaran televisyen Malaysia bahawa artis tersebut sedang menuntut cerai tetapi tidak dapat bersua dengan suaminya kerana menghilangkan diri. Sendiri fikirlah mana asal usul asbab dan musababnya.
Berbalik kepada rancangan menjurus kepada konsep 'Tanyalah Ustazah' yang bertajuk Suamiku Surirumah tadi, saya cuba mendengar butir bicara ustazah tersebut kerana mahu melihat mana ingin dibawa hala tuju penonton mengenai isu kontoversi ini. Agak menarik apabila suami diingatkan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah sebagai ketua keluarga. Secara fitrahnya Allah Taala memberi kudrat dan kemampuan yang sesuai dengan peranan seorang lelaki. Isteri yang bekerja dan merelai suaminya menjadi surirumah ibarat menongkah arus sehingga boleh membawa kepada permasalahan di masa hadapan. Pada mulanya isteri mungkin merelai sepenuh hati, tetapi sudah tabiat wanita yang tidak sempurna ini apabila sampai suatu masa yang menguji tidak mustahil si isteri akan mengungkit segala pemberiannya. Waktu itulah suami diungkit tidak pernah membeli pampers anak selama ini. Jadi pahala yang dikumpul menjadi sia-sia sahaja.
Pendapat saya yang dhoif ini, suami yang menjadi surirumah menampakkan kepincangan sesebuah keluarga kerana tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai seorang lelaki yang unggul. Sepatutnya mereka yang berkenaan harus sedar serta malu serta tercabar egonya kerana tidak mempertahankan kelakiannya. Wanitalah yang sepatutnya lebih dekat dengan rumah dan anak-anak dengan kelembutan, kasih sayang, sifat perasa dan sensitivitinya.
Akhir sekali ingatlah sebahagian ayat Al Quran yang bermaksud  " Arrijal Qawwamuuna a'la nnisak" yang bermaksud para lelaki ialah ketua/pengemudi kepada para wanita.

No comments:

Post a Comment