Koleksi Gambar

Wednesday, July 31, 2013

Cerita buat kuih di bulan Ramadhan

Sedar tak sedar sudah hari ke 22 kita umat Islam di Malaysia berpuasa. Biasanya bulan puasa di akhir-akhir baru rajin hendak membuat biskut atau kuih tradisi lain. Jiwa ini sungguh teruja semacam di bahu menggalas peranan orang penting dalam menyiapkan juadah. Tapi tidak bererti saya ingat hendak  beraya sahaja. Manakan tidak, Jiwa seharusnya lebih membesarkan bulan Ramadhan lebih daripada bulan Syawal kerana fadhilat yang banyak. Manakala bulan Syawal pula diraikan sebagai bulan kemenangan.

Oklah!  berbalik kepada agenda  membuat kuih raya. Saya cuba berjimat cermat serta menggunakan bahan yang ada sebaik mungkin. Setakat ini kuih dan biskut yang siap ialah tart nenas ( sering saya dan suami mengajuk cakap anak buah yang kami gelar dak kiting, mana tidaknya, pelat dia menampakkan telo British sebagaimana yang dilatih gurunya di Sekolah di Singapura-itu katanya). Selain itu setelah menonton rancangan selera yang di acarakan oleh tukang masak baru siap ada petua untuk merapuh dan melemakkan biskut lagi* , saya mencuba membuat biskut cornflakes.

Almond London biskut yang paling banyak pakai modal juga tidak ketinggalan. Biasanya saya beli kacang almond satu kilo. Tapi tahun ini saya cuma beli 1/4 kilo. Itu pun dapat dekat 300 biji. Kalau satu kilo mahu jemu tangan ni nak menggentel dia satu jenis saja. Jawabnya biskut lain terbengkalai. Kalau 900 biji mahunya saya masak sekurang kurangnya 23 dulang. Sekali bakar makan masa 30 minit. Mahu dekat 12 jam saya membakar. Tak sanggup saya nak duduk depan oven yang comel dan tak boleh bakar sekali banyak macam dalam tv . Dalam rancangan tu sekali bakar boleh masuk seratus biji. Hoho!  Kita bermatematik pula kan!

Seterusnya berpandukan resepi dari internet saya cuba membuat kuih tradisI Melayu iaitu buah rotan. Dan hari ini saya mencuba membuat kuih loyang/ kuih goyang berempah macam arwah atuk saya biasa buat dahulu. Apabila kakak sebelah rumah tanya kenapa tak buat manis saya mempunyai alasan sendiri, biarlah berbeza sedikit dengan citarasa Orang Melaka. Mak mertua sure sure membuat manis kuih loyang ini.

Lepas ini saya ada perancangan membuat agar agar kering, maruku, kuih siput, samprit dan mana yang termampu sehingga tidak membazirkan bahan bahan seperti tahun-tahun sudah.
Saya percaya suami saya tentu seronok apabila melihat usaha saya walaupun tidak menepati cita rasa. Inilah meriahnya erti puasa dan persiapan menyambut hari raya kepada pasangan suami isteri baru seperti kami (8 tahun masuk 9 tahun lagi 5 bulan).
Suami sudah semestinya mahu saya mengikut jejak langkah bondanya tercinta supaya menyediakan makanan bersumberkan hasil air tangan isteri tercinta.
Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment