Koleksi Gambar

Saturday, January 25, 2014

Kanser servik


SIKAPNYA ceria dan peramah. Malah, sekali pandang, tidak ada apa yang luar biasa mengenai dirinya. Hanya setelah berbicara dengannya barulah mengetahui wanita berusia 49 tahun ini adalah bekas pesakit kanser serviks.

Faridah memberitahu bahawa doktor telah mengesahkan dirinya menghidap kanser serviks pada tahun 2004. Kini, dia tidak lagi menderita akibat kanser serviks. Namun sewaktu pertemuan  yang berlaku di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) baru-baru ini, Faridah amat menekankan saringan dan pengesanan awal penyakit kanser ketiga yang biasa berlaku di kalangan wanita Malaysia ini.

“Rasa tidak prihatin terhadap gejala-gejala awal telah membuatkan saya kehilangan sistem peranakan saya. Kos merawat penyakit saya ini lebih daripada kos mencegah. Selepas saya melalui setiap rawatan dari 2002 hingga pulih, kos rawatan itu hampir RM500 ribu. Kalaulah daripada awal dapat dicegah, kos tidak mencecah sebanyak itu. Pengesanan awal lebih penting. Ia mampu mengelakkan penyakit itu lebih teruk.”

Wanita bersikap positif ini menyarankan agar wanita untuk menjalani kehidupan yang sihat bagi mengelak kanser serviks.

“ Kanser serviks adalah disebabkan oleh virus. Pemakanan untuk melawan virus itu amat penting. Bagi yang telah berkahwin perlulah melakukan Pap Smear. Bagi yang belum berkahwin, mereka disarankan mengambil vaksin kerana itulah langkah-langkah pencegahan awal.

Bukan sahaja wanita, lelaki terutamanya suami perlu sedar tentang penyakit kanser serviks ini juga. Ini adalah kerana virus ini boleh juga disebarkan daripada seorang lelaki kepada wanita. Lelaki juga patut sedar kebersihan diri mereka. Sokongan emosi kepada isteri adalah perlu. Kadangkala perkataan seperti ‘Engkau tidak ada apa’ boleh menyebabkan stres kepada wanita. Kita bukannya mahu. Itu adalah takdir.”

Faridah memang tidak pernah terfikir bahawa dia akan menghidap penyakit kanser. Malah apabila dia mengalami gejala-gejala seperti sakit di bahagian peranakan, sakit di bahagian ari-ari, keputihan dan senggugut yang melampau, dia tidak mengendahkannya.

“Saya ambil mudah gejala-gejala tersebut.” Luah Faridah dengan kesalnya.

Ibarat nasi sudah menjadi bubur, itulah yang perlu dihadapi oleh Faridah. Apabila dia  terpaksa dimasukkan ke hospital akibat pendarahan haid yang banyak berlarutan lebih 10 hari September 2002, segala-galanya telah berubah dalam hidupnya.

“Saya rasa sakit yang amat sangat. Doktor melakukan pemeriksaan dan mendapat apendiks yang hampir pecah telah menyebabkan jangkitan pada bahagian ovari kanan. Doktor menasihatkan agar pembedahan dilakukan bagi membuang ovari kanan. Setelah itu, saya tidak lagi merasa sakit.”

Faridah tidak lagi mengalami sebarang masalah kesihatan setelah pembedahan tersebut dilakukan. Tutur ibu kepada Siti Nadiah, 24, dan Muhammad Naim, 21 ini lagi, apabila dia dan suami  gagal dalam percubaan untuk hamil  selepas dua tahun pembedahan dilakukan, kegagalan tersebut telah mendedahkan masalah sebenar yang tersembunyi pada tubuhnya.

Tabah jalani rawatan

Pada tahun 2004, Faridah mengalami sakit yang sama. Dia kemudiannya kembali ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

“Pada masa itu berlaku pendarahan dan saya mengalami susah buang air besar. Kemudiannya doktor mengatakan bahawa ovari kiri saya rosak dan menasihatkan agar saya untuk melakukan pembedahan kali kedua.

Setelah berbincang dengan suami, saya agak keberatan melakukan pembedahan. Kami buat keputusan berjumpa dengan pakar sakit puan yang lain. Doktor kedua ini mengatakan bahawa saya perlu melakukan biopsi.

Selepas biopsi dilakukan, dua minggu kemudian doktor tersebut mengatakan bahawa saya menghidap kanser. Saya menyangka kanser ovari sebaliknya doktor mengatakan bahawa saya menghidap kanser serviks.”

Jelas Faridah lagi pengesahan daripada doktor itu amat menakutkan dirinya. Doktor memberitahu yang dia perlu menjalani kemoterapi untuk mengecutkan tumor sebelum tumor itu boleh dibedah dan dibuang.

Setelah berbincang dengan suaminya, Faridah bersetuju menjalani kemoterapi. Dia melakukan sebanyak lapan kitaran, bermula Oktober 2004. Pada Mac 2005, Faridah menjalani pembedahan membuang histerektomi sekali gus membuang tumor agar ia tidak merebak kepada organ-organ penting di tubuh.

“Keputusan tersebut adalah di tangan saya. Sama ada setuju atau tidak pembedahan tersebut dilakukan. Setelah berbincang dengan suami dan keluarga, mereka menyokong sepenuhnya agar saya menjalani pembedahan. Malah suami berkata, walaupun saya terpaksa membuang sistem peranakan, dia bersetuju kerana kami telah ada sepasang anak yang menyerikan hidup. Jika itu yang terbaik maka saya patut teruskan.”

Katanya lagi, di samping kemoterapi, dia juga perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 25 kali dan disusuli dengan 'brachytherapy' (antibodi dimasukkan melalui saluran vagina).

Pada Februari 2006, sewaktu pemeriksaan susulan, Faridah diberitahu terdapat ketumbuhan di hatinya dan dia perlu menjalani rawatan 'Radio Frequency Abilation' (RFA). Rawatan yang perlu dibuat selama sehari itu adalah kerana ia ada kena mengena dengan pengambilan hormon selepas rawatan.

Kongsi pengalaman

Selepas bebas kanser, kehidupan Faridah kembali normal. Semenjak dia berhenti kerja pada tahun 2002, dia duduk sepenuh masa di rumah. Selepas menjalani rawatan penyakit kanser serviks, Faridah mula berniaga. Pada asalnya dia hanya mengikut suami berniaga.

Hanya apabila tertubuhnya Pptown Danau Kota, dia mula memiliki perniagaan sendiri. Kini dia berniaga menjual pakaian. Faridah menggunakan minat melancong untuk membeli pakaian daripada pemborong di luar negara.

Selain berniaga, Faridah menggunakan masa luangnya mencari badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh disertainya bagi berkongsi kisah dan pengalaman hidup sebagai bekas pesakit kanser. NGO bukan asing dalam dirinya kerana sebelum ini dia pernah bekerja dengan Kiwanis, sebuah NGO yang mengendalikan kanak-kanak sindrom down.

Sebaik terpandang bangunan NCSM di Kampung Baru, Faridah memberanikan diri terbabit dalam tugas kesukarelawan. Sehingga kini sudah 34 kali Faridah melakukan jelajah dengan syarikat yang menghasilkan produk perubatan bagi mencegah penyakit kanser serviks bagi memberi kesedaran terhadap penyakit tersebut. Dalam jelajah yang dilakukan itu, Faridah akan berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser.

“Ilmu dan pengalaman tidak perlu disimpan. Ia perlu dijadikan panduan bagi wanita-wanita lain. Pada tahun 2006 selepas selesai perubatan, selama dua tahun saya masih belum boleh ke hadapan bagi memberi penerangan dan berkongsi pengalaman. Selepas motivasi yang diperoleh dari NCSM barulah saya berupaya menerima kenyataan itu,” ujar Timbalan Presiden Pink Unity ini. Dia kini hanya bertugas sekali sebulan di pejabat NCSM Kampung Baru.

“Saya bertugas secara bergilir mengendalikan Meja Bantuan (Help Desk) yang diwujudkan pada tahun 2011 bagi mereka yang mahu mendapatkan bantuan dan maklumat berkaitan penyakit kanser. Kami hanya berkongsi maklumat dengan mereka yang datang ke pejabat ini. Ada kalanya kami mendengar luahan rasa mereka yang mahukan seseorang mendengar masalah yang dihadapi.”

No comments:

Post a Comment