Koleksi Gambar

Tuesday, July 26, 2011

Halalan Toiyyiba

Dulu masa mula-mula kahwin saya selalu berkecil hati apabila suami saya selalu menyekat selera makan saya. Saya beli asam dia ambil dan buang, saya nak beli makanan tepi jalan, dia berlalu buat tak tahu, saya pesan belikan apa yang saya hajatkan dia pula abaikan. Kalau saya beli laksa makanan kegemaran saya, dia bebelkan. Pendek kata banyak yang tidak kena. Kadang-kadang sampai nangis-nangis saya dibuatnya. Apa boleh buat, kadang kala apa yang saya hajatkan saya tunaikan secara senyap-senyap dengan duit poket sendiri.

Kini saya lebih rela dia menahan saya itu dan ini kerana semua yang dilakukannya semata-mata kerana kasihkan saya. Apa yang dia buat sebenarnya lebih kepada menjaga kesihatan saya. Dia tidak bagi saya makan asam kerana takut saya mengidap penyakit. Asamkan ada bahan-bahan yang boleh meransang kanser dan kesan lain. Dia tidak bagi saya makan laksa keranan tidak yakin kebersihan si pembuat. Lagipun kalau orang yang tidak cermat, laksa ikan akan terhasil daripada ikan-ikan yang tidak dicuci bersih. Kalau dulu heboh kuah laksa dicampur tisu dan ada juga yang hanyir, cair dan macam-macam lagi. Apa pun yang penting kita hendaklah menaruh syak wasangka kepada orang yang tidak kita kenali demi kebaikan kita. Kini jika saya teringin makan laksa saya akan hasilkannya sendiri untuk dua orang makan. Modal saya biasanya dalam rm7.00. Saya boleh makan laksa berulang kali malah boleh disimpan buat stok esok pula. Tapi suami saya yang tidak meminati laksa tidak menyentuhnya.

Makanan-makanan yang tidak pasti kebersihannya agak sukar diterima tekak kalau kita fikir-fikirkan. Bayangkanlah tikus mencari sisa-sisa makanan dari celah-celah dapur. Pernah saya membeli Char Kuey Tiow yang dalamnya penuh dengan abu hitam. Rupanya kerak pada kuali tidak dicuci bersih sehingga menyedarkan saya tidak menyentuh makanan tersebut. Pernah juga saya dan ibu makan di sebuah restoran yang seafood berbau sungguh hanyir, dan saya agak seafood ini tidak dibasuh, mungkin kerana mengejar order pelanggan yang ramai. Dalam pada berhati-hati memilih warung, hotel-hotel besar juga tidak kurang cerita tidak enak yang saya dengar. Sepupu suami saya bercerita bagaimana rakannya yang alah pada bau kambing terpaksa menguwek disamping hidangan yang sedang disediakannya. Restoren makanan segera tidak kurang kontroversi yang diterima, buktinya baru-baru ini melalui laman youtube ada didedahkan ayam goreng yang di palit ditapak kasut sebelum dimasukkan ke dalam minyak penggoreng.

Oleh kerana didikan suami yang sedikit tegas kini saya menerima alasannya berbuat demikian dan saya sekarang lebih menyukai memasak makanan sendiri kerana kita sendiri menilai cara penyampaian kita didapur memasak. Biarlah susah atau penat sedikit yang penting masakan memenuhi selera kita. Lebih berpuas hati apabila membandingkan masakan yang dikedai pun kita boleh sediakan senang-senang dengan kos yang jauh lebih murah.

Serbuk perasa juga jika diperlukan dapatlah kita sendiri memantau kuantitinya kerana berlebih seperti dikedai memanglah menyelerakan tetapi tidak menjamin kesihatan kita. Mungkin akan memendekkan usia siapa tahu.

Yang penting makanan yang masuk kedalam perut kita besih lagi halalan toiyiba!

No comments:

Post a Comment