Koleksi Gambar

Sunday, July 10, 2011

Kisah anak angkat..





Hai, my name is Aliya allyssa

Siang tadi baru ambil dari ibunya. Malamnya tidur di Sg Rambai Melaka. Tidur dengan mak simah(NENEK angkat).

Saya? Mmm belum boleh diharap jaga baby lagi. Apa nak gelarkan diri saya ye.... Ummie boleh?

15/5/11

Maafkan ummu Alysa. Kerana ummu agak malu-malu dan ego meminjamkan gelaran ibu/mama/ummie/mak/mummy padamu nak. Tapi sekarang memikirkan kamu perlu memiliki ibu seperti orang lain dan kami telah menyanggupi memikul amanah memeliharamu, ummu sedar kamu juga berhak memdapat hak itu. Kamu adalah satu anugerah dan rezeki yang Allah kurniakan.

Maafkan ummu Alysa kerana

menyerahkan jagaan sepenuhnya kepada datuk dan nenek sebelah bapa angkatmu yang akan kamu gelar abi. Mereka terlalu baik dan jika tidak kerana mereka, kamu tidak akan bersama kami. Tapi jangan risau sayang, ummu akan berusaha memberi kamu kecukupan lain dengan izinNya terutamanya ilmu agama yang akan menjaga dan menaikkan nilai harga dirimu.

Ummu sedang belajar menyayangi kami dari kejauhan. Kamukan anak ummu!

10:24pm

16/5/11

Belum selesai lagi urusan pengambilan anak angkat. Nampaknya rumit juga. Banyak juga perbelanjaan yang sudah dikeluarkan oleh abi padahal hitam putih belum ada.

Tentang jagaan pula, inilah yang ummu risaukan. Sekarang nenek dan atuk yang jaga. Sementara nak biasakan kamu dengan ummu, mungkin kamu akan terpisah dengan ummu dalam jangkamasa yang lama. Ummu risaulah takut kamu nanti tidak mahu dengan ummu. Ummu tak mahulah bila kamu membesar, keadaan atuk dan nenek tidak mengizinkan, sepupu sepupumu telah meningkat dewasa, maka kamu perlu kejagaan ummu supaya ummu boleh pantau kamu.

Maka ummu rasa sekarang ini, ummu perlu menjaga kamu sedari kamu anak kecil supaya kamu nanti, tangan ummu yang mencorakkannya. Untuk berbincang dengan perkara ini sedikit sukar, kerana melibatkan perkara lain. Sabarlah Alysa ya!

Tengoklah kalau masa yang sesuai, ummu nak ambil Alysa tinggal dengan abi dan ummu. Biar kamu rasa punya ayah dan ibu. Maafkan ummu ye, tinggalkan Alysa pada atuk dan nenek. Ummu dah fikir nak lysa dekat dengan kami. Kalau tak banyak masalah lain akan timbul kemudian hari.

Hari ni ummu balik ke Melaka untuk membawa ibu Alysa ke JKM Melaka untuk dokumentasi anak angkat.

Nenek cakap Alysa hari ni taknak duduk,asyik nak berpegang je. Kenapa Alysa?...

Tadi ada masalah besar Alysa, ibu kamu taknak ikut balik ke Melaka. Abimu pula disuruh supaya menyerahkan kamu dalam masa tiga hari,kalau tidak ayah kamu yang sebenar akan report kami menculik kamu. Padahal mereka yang beriya-iya dan tidak sabar menyerahkanmu kepada kami. Teruk betul mereka memperlakukanmu seperti barang.

Tak tahulah dimana silapnya. Ummu syak ibu kamu telah berbelah bagi untuk menyerahkan kamu bawah jagaan kami.

Nampaknya kita tiada jodoh sayang. Nenek dan atuk kamu sudah susah hati kerana kamu akan dikembalikan esok. Ummu tahu mereka hendak menangis tetapi tertahan-tahan. Sayangnya mereka kepada kamu. Jeles juga ummu.

Alysa, ummu serahkan nasib kamu kepada Allah sahaja. Ummu harap kamu akan membesar menjadi insan yang berguna,taat pada Allah. Ummu sekeluarga mendoakan kamu dari kejauhan sahaja.

Alysa, kesian abi tau, dah cuba menyayangi kamu akhirnya dia dapat susah balik. Alysa masih kecil,tiada salah kamu,tiada dosa kamu. Malah kamu lagi mulia daripada kami yang banyak noda ini. Ummu tak nak peningkan kamu dengan masalah orang dewasa.

Ummu sembang ngan nenek, nenek cakap kamu pantang dengar suara nenek, cepat sahaja kamu cari...mmm,agak ummu kamu dah kenal bau dan suara neneklah. Aura kasih sayang nenek telah sampai ke naluri kamu. Ummu cemburu kenapa ummu tidak mendapat tempat seperti nenek. Tak mengapalah sayang, ada hikmahnya, kalau ummu ditempat nenek pasti ummu lagi sedih!

Ummu mula berangan nak jadi ibu muda yang nampak anggun dengan tubuh kecilmu yang comel. Ummu nak lawan bercakap dengan kamu dengan senyuman sahaja agar kamu juga mudah tersenyum. Tapi sayang.....

Ummu ni sebenarnya takder chances pun nak memanjakan kamu sebab nenek sepenuh masa bersama kamu. Esok penentuan untuk kita samada bersama atau berpisah! :( 

10:29pm

Allysa, tadi ummu sampai lambat kat Sungai Rambai. Malamnya kamu nyenyak sungguh tidur. Nenek cakap sepupu-sepupu kamu bukan main lagi bermain dengan kamu. Nak letak kamu hari ni seharian kamu merengek je...neneklah yang kena pegang selalu.

Ummu doakan esok hari ibumu bertukar fikiran/terbuka hati untuk menyerahkan kamu kepada kami. Biar nasib kamu terbela dengan kami.

10:57pm

18/5/11

Abi dah buat keputusan untuk memulangkan kamu kembali kepada mama dan papa kamu. Jika mereka nak serahkan pada kami, mereka kena akur untuk membuat hitam putih tanda setuju kami mengambil kamu sebagai anak angkat. Jika tidak kamu terpaksa kami serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bukan ummu dan abi tak kasihkan kamu, tapi kami tidak mahu ibu ayah Alysa menjerat kami dengan masalah lain.

18/5/11 10 :20pm

Ummi terpaksa juga lepaskan Alysa kepada ibumu malam ini. Ummu minta maaf sebab terpaksa basuh ibumu cukup-cukup.

Kesal sungguh ummu terhadap sikap ibumu yang memperdagangkan kamu kepada kami. Ummu risau betul nasibmu selepas ini. Cuma ummu berdoa agar Allah memelihara kamu dan malaikat kiri kanan akan mengawasi kamu.

Ibumu benar-benar mempermainkan kami, dia tidak kasihankan kamu,lelaki yang menyebabkan kamu lahir kedunia hanya menyembunyikan diri tetapi tidak sudah-sudah mahu mengacaubilaukan abi dan ummu.

Hari ini pula pandai betul kamu ambil hati ummu ye. Kamu tenang sahaja dalam dakapan ummu. Kamu ketawa bila ummu berbisik ditelinga kamu. Mata kamu pula tidak mahu lepas memandang ummu. Sedihnya ummu!

19/5/11 8 :49am

Alysa, ummu tidak berdaya lagi melindungi kamu. Kamu bebas dari mata telinga ummu. Ummu harap ibumu terbuka hatinya menyerahkan kamu kepada orang lain supaya nasib kamu lebih terbela. Ummu tidak lagi mengharapkan kamu kembali kepangkuan ummu kerana hati kami benar-benar tawar hati dengan sikap ibubapamu. Macam-macam yang ummu fikirkan selepas ini. Gambar yang ada mengimbas kembali sepanjang kamu bersama kami.

Ibumu tidak sabar menyerahkan kamu kepada kami pada mulanya.

Kamu di rumah nenek,mmm banyaknya bodyguard kamu. Siap ada dayang lagi ye.

atuk,nenek dan tokcik semua kasihkan kamu.

saat penyerah.

Catatan khas untukmu ini ummu tamatkan disini. Ummu anggap ini adalah sebahagian daripada rentetan hidup ummu yang memberi pengajaran berguna kepada ummu dan abi. Semuanya mempunyai hikmah.

Kita merancang, Allah juga merancang tetapi perancangan Allah lebih baik.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment