Koleksi Gambar

Tuesday, July 26, 2011

Ramadhan Datang

Syawal 2007



Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Apabila Ramadhan menghampiri, kita yang berhati perempuan ini akan teringat persiapan raya. Mahu persalinan baru untuk rumah, kuih muih yang banyak,lampu kelip-kelip di laman rumah dan pelita buat penyeri.

Teringat awal-awal tahun perkahwinan dahulu dimana bapa mertua agaknya menahan ketawa kerana saya mengeluarkan sebeban majalah yang mengandungi resepi biskut apabila hendak membuat biskut raya. Memang pada tahun itu saya agak gila membuat biskut sehingga hari raya kedua saya masih menyambung membuat biskut. Syawal tahun tersebut saya penuhi dengan resepi-resepi baru biskut raya sehingga suami saya berseloroh tidur pun bau biskut raya.

Raya di Taman Seri Serkam memang meriah dengan majlis marhabban di bulan Syawal. Kami akan bergilir-gilir home rolling . Kunjung mengunjungi usah dikira. Rumah saya sempat membuat majlis rumah terbuka (padahal sebelumnya sudah beberapa kali mengadakan rumah terbuka pada jiran yang sama) dari tengahari sehingga ke malam. Apabila menerima kunjungan yang tidak henti saya merasakan kami sungguh diraikan di taman perumahan kami.

Sebelum itu sambutan perayaan di Kampung Parit Perawas Melaka juga tidak kurang hebatnya. Ada juga sesekali saya mengikuti kumpulan wanita bermahaban dari rumah ke rumah. Memang suasana begini tidak dapat saya kecapi di kampung asal saya Gurun,Kedah Jelapang Padi.

Saya juga tidak dapat melupakan anak jiran sebelah rumah saya yang selalu memasang helah untuk berkunjung kerumah saya semata-mata mahukan biskut raya yang sentiasa penuh balang di rumah saya dan saya merelakan kerana biskut raya tidak diraikan sangat oleh suami (dia bukanlah pemakan sangat dengan aneka jenis biskut).

Tahun ini kediaman kami di Kuala Lumpur menanti kehadiran Syawal dengan bersederhana kerana yang penting kami ialah mahu membesarkan bulan Ramadhan. Pada saya biarlah rasa ghairah beraya ini tenggelam dahulu demi memahsyurkan Ramadhan dengan merancang amalan-amalan ibadat buat tabungan di hadapan Allah kelak. Semoga Allah memperkenankan hasrat saya.

Saya seboleh mungkin menghabiskan kerja menyelenggara rumah didalam bulan Syaaban juga kerana tidak mahu sibuk dengan urusan ini ketika orang lain merebut pahala Ramadhan. Saya cuba menerapkan kedalam diri kesederhanaan dalam menghias rumah dengan memaksimumkan penggunaan barang yang sedia ada dan sedaya upaya berjimat cermat untuk kesejahteraan hidup.

Insyaallah saya akan mengajak suami sama-sama mengimarahkan hubungan kami dengan bersolat tarawih, bersahur bersama, berbuka, bertadarus dan mengikuti apa-apa program yang disediakan sempena bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment